Saturday 6 August 2016

Pengenalan Diri



Teks: Mardiana Alias
Sumber Foto: Mardiana Alias

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.

SALAM PERKENALAN

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas rahmat dan rezeki yang diberikan. Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan oleh-Nya. Aamiin.

Izinkan saya perkenalkan diri terlebih dahulu. Nama diberi Mardiana binti Alias. Merupakan suri kepada Mohd Azuan bin Yusof dan ibu kepada 4 orang cahaya mata, 3 orang puteri dan seorang putera bernama 'Aina Umairah, 'Aisyah Raihanah, 'Alyaa Qaisarah dan 'Ammar Farhan. Bekerja dari rumah sebagai Konsultan dan Stokis Berdaftar Qaseh Gold keluaran ANA EDAR. Di samping melunaskan tanggungjawap sebagai konsultan, dapat juga membesarkan anak-anak dengan penuh kasih dan sayang sebagaimana yang diterapkan oleh bonda dan ayahanda tercinta. Terima kasih buat ibu dan ayah kerana membesarkan kami seramai 6 orang adik-beradik kesemuanya.

Mendapat pendidikan rendah di kampung halaman, selama 6 tahun di Sekolah Kebangsaan Beranang. Sejak di bangku sekolah lagi saya merupakan pelajar yang aktif dalam sukan. Sukan pilihan saya ialah olahraga, bola jaring dan juga badminton. Berkecimpung dalam bidang sukan mengajar saya erti berdisiplin dan jangan mudah mengaku kalah.Berbekal keputusan UPSR 4A 1B saya meneruskan peringkat menengah dari Tingkatan 1 dan 2 di  sekolah berasrama iaitu Sekolah Menengah Agama Selangor, Kajang dan Tingkatan 3 hingga 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor. Minat dalam sukan masih saya teruskan walaupun sudah berada di sekolah menengah. Selagi saya bijak membahagikan masa, In Shaa Allah kedua-duanya mampu berjalan seiring.

Berbekalkan keputusan SPM yang cemerlang, melayakkan diri untuk meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak dan akhirnya dengan izin Allah berjaya bergelar graduan dalam jurusan perakaunan dan menjawat jawatan sebagai seorang Juruaudit Akaun di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur selama 5 tahun. Bekerja sebagai juruaudit bukanlah sesuatu yang mudah. Saya tidak banyak masa untuk bercampur gaul dengan teman-teman selain dari rakan sekerja. Senang cakap, asal celik mata sahaja fikiran teringat tentang kerja. Keluar kerja gelap, balik dari kerja juga gelap. Sungguh saya GILA KERJA waktu itu. Tapi dek kerana saya minat tentang audit, segalanya saya tolak tepi. Gaji pada waktu itu tidaklah sebesar mana. Alhamdulillah mampu juga saya buat simpanan sedikit demi sedikit.

Alhamdulillah, semasa bekerja sebagai juruaudit membuka ruang untuk saya berkenalan dengan suami saya, Mohd Azuan Yusof yang waktu itu merupakan salah seorang rakan sepejabat. Tidak lama selepas mendirikan rumahtangga, saya disahkan hamil. Gembira bukan kepalang saya dan suami waktu itu. Rezeki lebih baik Allah beri dan saya ditawarkan pula peluang kerjaya yang lebih sesuai untuk suri seperti saya. Jika dahulu semasa bekerja sebagai juruaudit, saya lebih banyak kerja-kerja luar berbanding duduk di dalam pejabat. Kini masa saya lebih banyak di pejabat menguruskan akaun syarikat. Aturan Allah itu sangat cantik. Selepas sahaja habis tempoh berpantang melahirkan puteri ketiga kami, suami izinkan saya untuk berhenti kerja. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tanpa ambil masa yang lama, saya terus bersetuju.

Maka bermula lah episod saya sebagai SURIRUMAH bersama 3 orang puteri.

Nantikan sambungan pada entri seterusnya. Saya akan kongsikan pengalaman bergelar Surirumah dan juga sebagai Suri Profesional QASEH GOLD.




No comments:

Post a Comment